Sunday 10 January 2016


"Perjalanan PhD itu mudah tatkala .... "
oleh W. A. Amir Zal, PhD
MUKADIMAH
Alhamdulillah, pada 1 Disember 2011 saya telah disahkan sebagai lulus PhD dalam bidang Pembangunan Komuniti - Sosiologi. Saya ingin kongsikan sedikit perjalanan dan pengalaman saya dalam menyiapkan PhD. Mudah kerana beberapa sebab. Namun taklah bermakna saya tidak berhadapan dengan sebarang cabaran, cabaran-cabaran itu saya akan ceritakan juga dalam perkongsian ini.
RINGKASAN PERJALANAN AKADEMIK
Sebaik sahaja tamat tingkatan lima dari SMU (A) Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu Kelantan pada tahun 2000 (nota: Saya lewat satu tahun kerana perlu melalui kelas peralihan sebelum ke tingkatan satu selama satu tahun. Ia lazimnya dipraktikkan di sekolah aliran agama / Arab di Kelantan). Pada tahun 2003, saya telah menamatkan pengajian peringkat Diploma di UPM selama 2 tahun setengah (sepatutnya tiga tahun). Pada tahun 2007, saya tamat pengajian peringkat ijazah pertama selama tiga tahun setengah (sepatutnya empat tahun – dwi major). Pada tahun yang sama saya melanjutkan pengajian peringkat ijazah Master dengan tesis dan tamat pada tahun 2009, iaitu selama satu tahun setengah (sepatutnya dua tahun). Pada tahun itu juga, saya melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dengan tesis, selama dua tahun yang sepatutnya mengambil masa tiga atau empat tahun.
Berkenaan dengan pengajian PhD, ada rakan-rakan saya yang tertanya-tanya adakah kajian dan tesis saya sama dengan kajian dan tesis peringkat Master? Sudah pastinya tidak. Kajian dan tesis saya pada peringkat ijazah Master dahulu memberi tumpuan kepada penerima gunaan dan impak ICT ke atas Orang Asli suku kaum Temuan di Selangor. Manakala kajian dan tesis peringkat PhD saya memberi tumpuan kepada penilaian modal sosial serta modal insan dan kesannya ke atas pendayaupayaan ekonomi (economic empowerment) Orang Asli suku kaum Orang Kuala di Johor. Selain itu, saya juga memilih penyelia tesis PhD yang berbeza dari pengajian di peringkat ijazah Master dahulu.
KRONOLOGI PERJALANAN PhD
Sebaik sahaja tamat pengajian peringkat master, saya ingin terus melangkah ke peringkat PhD. Alhamdulillah saya mendapat tempat di sebuah universiti di New Zealand. Namun, itu bukan takdir untuk saya, saya tidak dapat meneruskan pengajian kerana saya tidak mendapat sebarang penajaan sama ada SLAB atau SLAI atau tajaan lain. Sungguhpun begitu, ia tidak mematahkan semangat saya. Setelah meminta ‘pandangan’ Rabbul Jalil dan rakan-rakan lain, akhirnya saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian saya di UPM juga.
Pertimbangannya mudah, saya sudah biasa dengan sistem serta prosedur pengajian siswazah UPM dan mengenali ramai pensyarah yang saya jangkakan dapat membimbing saya dalam perjalanan akademik. Saya terus mendaftar dan memulakan pengajian peringkat Doktor Falsafah pada 17 Disember 2009.
Namun ia tetap menimbulkan rasa bimbang saya dengan sumber kewangan, kerana saya tidak mempunyai penajaan mahupun sumber pendapatan. Sungguhpun demikian, ALLAH membantu saya. Dengan memiliki Ijazah Master, saya memperoleh kerja sebagai pensyarah separuh masa di beberapa buah universiti. Termasuklah di UPM, UKM, HUKM dan UPSI. Antara subjek yang saya mengajar ialah kaedah penyelidikan kuantitatif, kualitatif, sosiologi antropologi dan hubungan etnik. Bantuan lain dari ALLAH SWT, saya memperoleh banyak geran penyelidikan konsultasi. Ia memberi
pendapatan yang selesa kepada saya.
Lebih memudahkan saya, saya memperoleh bantuan Bajet Mini untuk pelajar siswazah yang mana ia membantu membayar yuran pengajian saya. Alhamdulillah, saya tidak lagi merasa bimbang dengan perihal kewangan. Langsung tidak!
Tidak berapa lama kemudian, saya mendapat skim felow siswazah di UPM, ia bertambah membantu saya. Enam bulan kemudian, ALLAH memudahkan saya lagi, saya telah memperoleh geran penyelidikan khas untuk pelajar siswazah (inisiatif 6) dari Pusat Penyelidikan Universiti UPM. Geran penyelidikan itu sangat cukup untuk saya menyiapkan kajian PhD saya.
Syukur. Satu tahun lima bulan kemudian, saya telah mendapat penajaan pengajian melalui Skim Latihan Akademik IPT (SLAI) yang menanggung yuran pengajian, elaun sara hidup diri dan keluarga serta beberapa kemudahan yang lain. Ia banyak membantu saya. Jika dilihat kronologi itu, sangat mudah perjalanan pengajian PhD saya. Ya, saya akuinya. Malah saya boleh tegaskan, langsung saya tidak tertekan sepanjang menyiapkan pengajian saya. Prinsipnya mudah:
“Tatkala kamu berazam, maka bertawakallah kepada ALLAH”. [Ali Imran ayat 159]
INI LALUAN SAYA
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa perjalanan saya begitu mudah?! Saya tidak lokek untuk berkongsi sebabnya. Antara sebab yang saya perasan kenapa perjalanan itu mudah ialah:
1. Niat yang betul:
Sangat benar sabda Nabi SAW:
“Setiap amal bergantung pada niatnya, dan setiap orang memperoleh sesuai dengan niatnya. Sesiapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Sesiapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujuinya”. [HR Bukhari]
Saya meneliti niat saya sebelum saya meneruskan langkah dalam dunia akademik amnya dan pengajian PhD khususnya. Kenapa saya mahu berada dalam dunia itu? Kerana pangkatkah (PhD= Dr)? Kerana gajikah (PhD= DS51 / 52)? Kerana faktor luang masakah? Kenapa pula saya mahu sambung pengajian saya? Kerana tidak ada kerjakah? Kerana ikut kawankah? Kerana ikut familikah? (nota: seorang abang saya pensyarah di USIM – pensyarah kanan bidang syariah - dan seorang kakak saya pensyarah di UiTM – pensyarah kanan bidang farmaseutikal bioteknologi).
Jawapannya... Bukan itu sebabnya!
Saya memilih untuk serius dalam lapangan akademik... Saya menyambung belajar kerana memiliki niat dan matlamat yang jelas. Apakah dia? Saya mahu meneroka ilmu ALLAH Yang Maha Luas. Saya mahu menghampiri diri padaNYa melalui ilmu (nota: Sesungguhnya orang yang takutkan ALLAH adalah dari kalangan hamba-hambaNya yang berilmu pengetahuan – Faatir: 29). Saya mahu ikut jejak langkah para ilmuwan yang terdahulu, Al-Ghazali, Ibn Khaldun, Ibn Taimiyah, Abu Hasan al-Ash'ari, Al Faruqi, Al-Attas, Nasr dan tokoh ilmuwan Islam lain yang tidak terduga ilmu mereka.
Saya juga mahu berkonfrontasi dan ‘bersilat’ dengan ghazwatul fikr terutamanya dengan para orientalis serta anak didik mereka. Inilah niat dan matlamat saya. Matlamat saya ketika di bangku sekolah menengah lagi. Saya percaya rakan-rakan akrab dari SMU (A) Maahad Muhammadi (L) masih ingat dengan penegasan saya untuk memperoleh PhD suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, saya bersyukur, dengan niat ini, saya yakin, ALLAH memberkati saya melalui memperoleh bantuan ALLAH iaitu dengan melicinkan proses penyelidikan dan melengkapkan tesis PhD saya.
2. Hubungan dengan ALLAH
Saya juga sedari, saya dapat ‘menyempurnakan’ pengajian PhD saya kurang dari dua tahun adalah dari izin dan bantuan ALLAH. Justeru, langsung tidak timbul dalam hati saya, berasa megah, tinggi diri, riyak mahupun takabbur. Bagi saya, apa gunanya bermegah dengan pakaian kebesaran ‘Tuan’ sedangkan hakikatnya kita adalah hambaNYA. Antara hubungan dengan ALLAH yang saya jaga ialah, mencari kehebatannya dalam setiap penemuan kajian dan pembacaan saya. Saya juga menjaga ibadah khusus dan am. Antaranya ialah menunaikan solat pada waktunya, solat berjemaah (di surau, dengan rakan-rakan atau keluarga), menunaikan solat sunat seperti solat duha dan tahajud. Saya perasan, ia bagus untuk menjaga hubungan baik dan akrab dengan Sang Pencipta.
3. Makbul doa ibu
Doa ibu, percayalah, doa ibu sangat makbul. Sedikit cerita tentang ibu saya, sungguhpun ibu saya sudah berusia 66 tahun, tapi saya sangat kagum padanya. Ibadahnya konsisten dan bersungguh-sungguh. Sekenal saya, setiap malam ibu saya bangun malam untuk bertahajud, setiap hari Al-Quran menjadi temannya, hampir setiap saat butiran tasbih di jarinya. Bagi saya, hebat hubungan ibu saya dengan ALLAH SWT. Antara faktor itu, saya yakin doa ibu saya sangat makbul. Ibu saya amat sering mendoakan kebaikan anak-anaknya di dunia dan akhirat. Khususnya saya, saya kerap meminta beliau mendoakan saya agar dipermudahkan urusan pengajian saya.
Saya masih ingat ketika saya khabarkan pada ibu saya bahawa saya merancang untuk sambung PhD ke New Zealand, kata beliau dengan spontan, “Ma tak mahu Amir pergi luar negara”. Nah! Itulah antara contoh makbulnya doa ibu... Syukur saya pada Ilahi kerana saya masih mampu menjaga dengan baik ibu saya, juga syukur ibu saya tidak pernah lupakan saya (serta anak-anaknya yang lain) dalam setiap patah doanya.
Sungguhpun ibu saya berada di Kelantan, saya kerap menelefon beliau. Biar sesibuk mana sekalipun. Janganlah berkira dengan ibu tentang persoalan masa, komitmen dan wang. Prinsip saya mudah, kita sibukkan dengan perkara yang kita anggap penting. Jika kita anggap ibu kita penting, maka kita akan sibukkan diri dengan beliau. Dan sebaliknya.
4. Keluarga yang memahami – isteri
Saya juga memiliki isteri yang baik dan memahami. Isteri saya suri rumah sepenuh masa, dengan itu banyak masanya diberikan untuk saya. Saya rasa terhibur dengan. Saya mengahwininya pada tahun 2007 (semester pertama pengajian Master), namun hanya dikurniakan anak kurang lebih tiga tahun kemudian. Isteri saya sangat prihatin dengan keperluan saya, beliau juga sanggup bersengkang mata menemani saya menelaah, membaca buku dan menulis meskipun pada jam 3 atau 4 pagi. Teguran saya supaya beliau tidur awal tidak diendahkan, sebaliknya beliau menemani saya dengan turut membaca buku atau bahan ilmiah yang lain.
5. Memilih penyelia
Saya sering kali menasihati rakan-rakan yang ingin melanjutkan pengajian mereka agar memilih penyelia dengan teliti. Saya dapati ramai rakan-rakan saya ‘tersangkut’ dek masalah yang ditimbulkan penyelia mereka seperti tidak membaca proposal atau tesis, sukar untuk ditemui atau berbincang, mempunyai agenda tertentu, memperalatkan pelajar dan saranan untuk kajian atau tesis yang tidak konsisten. Saya sangat bersyukur kerana telah memilih penyelia PhD yang tepat.
Saya telah memilih untuk berguru dengan YBhg Dr Ma’Rof Redzuan, pensyarah kanan di Jabatan Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. Selain mempunyai ilmu yang mendalam, beliau juga memiliki pengalaman yang luas, pandangan yang tajam dan memiliki kriteria guru yang baik. Saya suka berbincang dengan beliau kerana beliau sangat menggalakkan percambahan idea dan pengalaman. Apa yang paling saya sukakan ialah, beliau sangat menghormati saya. Langsung beliau tidak memandang rendah pada saya malah sering berbincang dengan saya dalam hal tertentu yang mana beliau berpendapat saya arif tentangnya. Juga saya bertuah kerana sangat dibantu oleh ahli penyeliaan PhD yang lain, iaitu YBhg Prof. Madya Dr Asnarukhadi dan Dr Hanina H. Hamsan.
6. Disiplin dan kerja keras
Saya sangat percaya pada disiplin dan kerja keras. Meskipun saya tidak disyaratkan masuk ke ‘pejabat’ untuk waktu khusus, namun saya mendisiplinkan diri saya mengikuti waktu pejabat. Saya berada di ‘pejabat’ (bilik RA JSKP) jam 8 pagi dan akan pulang antara jam 5.30 atau 6.30 petang. Aktiviti saya ialah, membaca, berbincang dan menulis. Saya jarang mengisi masa waktu tersebut dengan aktiviti bermalas-malasan seperti bermain permainan video dan sebagainya. Itu rutin saya. Saya dapati, ia berjaya.
Sebetulnya isu ini adalah perkara besar dalam kalangan rakan-rakan saya yang mendapat tajaan dari IPT-KPT. Mereka mempunyai masalah dengan masa. Ini kerana cuti belajar yang mereka peroleh digunakan untuk cuti bersungguh-sungguh, bercuti dari pekerjaan untuk agensi masing-masing. Makan angin, melancong dan sebagainya. Akhirnya, tatkala cuti belajar hampir tamat, barulah mereka sedari bahawa mereka belum berbuat apa-apa. Ia tak salah, cuma perlu berpada-pada. Sebaliknya saya percaya, disiplin yang saya tetapkan telah membuahkan hasilnya.
7. Kemahiran dalam penyelidikan
Saya mendapati pengetahuan dan kemahiran saya dalam penyelidikan sangat membantu saya menyiapkan tesis. Jika saya kira penglibatan saya dalam penyelidikan formal, saya telah terlibat lebih dari dua puluh projek penyelidikan, sama ada sebagai pembantu penyelidik, pengurus penyelidikan, ahli penyelidik, penyelidik bersekutu dan ketua penyelidik. Jika ditambah dengan penyelidikan yang tidak formal(penyelidikan tidak formal lazimnya saya menggunakan pendekatan kualitatif), menurut kiraan saya juga hampir dua puluh penyelidikan. Saya berada dalam alam siber hingga ke lapangan kajian. Misalnya, saya pernah berada di Bario Sarawak hampir tiga minggu. Penyelidikan yang telah saya sertai telah membantu saya untuk memahami dan mendalami selok-belok dan proses penyelidikan. Sungguh, ia sangat membantu.
8. Banyak membaca dan berbincang / berbahas
Antara perkara yang saya tekankan ialah, banyakkan membaca, sama ada buku, artikel jurnal dan bahan ilmiah yang lain. Memang sukar untuk memahami perkara-perkara tertentu dari bahan-bahan bacaan tersebut, namun saya tetap memaksa diri saya untuk memahaminya kerana saya yakin saya mampu ‘tangkap’ pena penulisnya. Juga saya memegang prinsip,
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Al Insyirah: 5-6)
Saya juga bersetuju dengan pandangan Zig Ziglar, “Rich people have small TVs and big libraries, and poor people have small libraries and big TVs”. Namun bagi saya pula, “Orang yang miskin ‘membesarkan’ (mengutamakan) televisyen. Manakala orang yang kaya ‘membesarkan’ perpustakaan mereka. Isteri saya cukup memahami saya, saya boleh demam jika tidak sentuh buku dalam satu hari. Saya juga mendisiplinkan diri dengan menghabiskan sekurang-kurangnya sebuah buku dalam seminggu.
CABARAN YANG DIHADAPI
Dari pengalaman ‘indah’ tersebut, adakah bermaksud saya tidak berhadapan dengan sebarang cabaran atau masalah? Jawapannya mestilah tidak! Banyak cabaran yang saya hadapi sebagaimana orang lain juga. Misalnya:
1. Banyak komitmen
Ramai mengeluh kerana banyaknya komitmen semasa pengajian. Saya tidak nafikan, saya juga mengalami perkara yang sama. Contohnya, saya sebagai pensyarah separuh masa, mempunyai komitmen untuk menyediakan bahan pengajaran, mengajar, menyelia pelajar, menyediakan soalan peperiksaan, memeriksa tugasan pelajar, urusan ISO dan sebagainya. Semua itu saya lakukan semasa saya dalam proses belajar peringkat PhD. Namun, akhirnya saya dapat siapkan PhD dalam masa dua tahun!
Gambar: Penglibatan saya sebagai ketua penyelidik sebuah kajian yang dijalankan di Bario Sarawak.
Adakah komitmen-komitmen itu tidak mengganggu saya? Saya tidak memandangnya dari sisi tersebut, sebaliknya bagi saya ia mendorong saya untuk lebih berusaha keras mencapai matlamat. Kenapa? Saya dapat pelajari kelemahan dari pelajar saya, dan saya tidak akan mengulanginya untuk diri saya. Juga, tatkala saya mengajar, saya sedari ada ilmu dan kemahiran yang perlu saya pelajari, saya insaf dan berusaha mengurangi kelemahan saya.
Syukur, komitmen-komitmen itu mendorong saya untuk bekerja lebih kuat.
Selain itu, penglibatan saya dalam penyelidikan langsung tidak mengganggu saya. Sebaliknya membantu saya untuk lebih mahir menjalankan penyelidikan terutamanya keupayaan melaksanakan proses penyelidikan dengan sendiri tanpa perlu bergantung pada orang lain.
Tentang komitmen bukan akademik pula, saya turut terlibat dengan NGO kebajikan sosial Orang Asli, menjadi perunding AMAN Palestin dan AJK surau solat Jumaat di kawasan perumahan saya. Bagi saya, semua itu tidak mengganggu, sebaliknya ia adalah salah satu tanggung jawab saya pada ummah. Selain itu, saya juga aktif dengan beberapa cabang seni mempertahankan diri, termasuk silat dan karate. Bagi saya, ia perlu untuk tujuan senaman.
Namun, saya menetapkan disiplin tertentu, iaitu saya mesti ‘menyentuh’ penyelidikan dan tesis PhD saya sekurang-kurangnya 3 hingga 4 jam sehari. Inilah yang konsisten saya amalkan.
2. Cabaran berkeluarga
Sesetengah orang memberi alasan berkeluarga sebagai kekangan untuk lancar meneruskan pengajian mereka. Saya akui, urusan itu agak genting dan perlu diuruskan dengan baik. Kami dikurniakan cahaya mata pada tahun ketiga mendirikan rumah tangga (April 2010), iaitu semester pertama pengajian PhD saya. Sudah pasti mendapat cahaya mata adalah perkara yang sangat menggembirakan, namun ia disertai tanggung jawab dan komitmen baru. Pada Julai 2011 isteri keguguran anak kedua kami, ia sedikit merumitkan keadaan. Namun dengan pengorbanan, ketahanan psikologi dan sifat memahami isteri yang tercinta, alhamdulillah semua dapat diuruskan dengan baik.
3. Kekurangan kemahiran
Sebetulnya dalam penyelidikan, memerlukan banyak ilmu, pengetahuan dan kemahiran baru. Kadang-kadang bisa melemahkan semangat. Saya ‘bermazhabkan’ mixed-method, mengaplikasikan kedua-dua pendekatan penyelidikan, iaitu kuantitatif dan kualitatif. Setiap pendekatan memerlukan pengetahuan dan kemahiran khusus, misalnya dalam pendekatan kuantitatif, saya perlu memahami prosedur statistik yang kompleks. Ia termasuklah penggunaan perisian komputer baharu seperti SEM-AMOS.
Manakala pendekatan kualitatif memerlukan saya memahirkan diri dengan teknik tertentu yang sudah pasti memerlukan masa yang lama untuk mahir dengannya, seperti teknik deskriptif dan naratif. Namun, bagi saya itu bukan masalah. Sebaliknya menunjukkan betapa kerdilnya diri, masih banyak tidak tahu dan pandai, sebaliknya ALLAH jua yang Maha Mengetahui. Itu antara petanda saya sebagai hambaNYA.
Bagi saya prinsipnya mudah, cuba memahami, mengingat atau menghafal dan mengaplikasikannya. Itu sahaja. Sudah pasti ia bukan mudah untuk faham dan ingat, namun selagi ada usaha, itulah yang kita akan dapat. Inilah fitrah ALLAH ke atas hamba-hamba-NYA. Jadi, belajarlah, baru dapat tahu.
4. Ketandusan idea dan mood
Apa isu yang biasa kita dengar? Tandus atau kering idea, atau tidak ada mood. Ini perkara biasa yang saya dengar dari rakan-rakan. Saya juga menghadapi masalah yang sama, namun saya ada cara mengatasinya. Sebetulnya, mustahil kita langsung tidak ada idea ketika menjalankan penyelidikan atau menulis tesis, kerana ia adalah seni.
Penyelidikan melibatkan proses, proses itu sentiasa berkembang, maka perhatikan setiap proses tersebut. Teliti kerja penyelidikan maka kita akan temui kelemahan dari setiap proses itu, ia pasti akan mendorong kita untuk menambah baiknya. Dengan cara bagaimana? Membaca dan terus membaca. Natijah, idea kita akan bertambah banyak.
Jangan pula bila berhadapan dengan masalah ketandusan idea, hilang mood, diisikan pula dengan perkara lain yang tidak ada kaitan dengan penyelidikan atau tesis, misalnya terlalu asyik menonton filem, bermain permainan video dan sebagainya. Sebaliknya, jika tidak ada idea atau mood, beralihlah kepada prosedur atau proses lain dalam penyelidikan. Misalnya, bosan dengan membina dan mensintesiskan tinjauan literatur, kita boleh mengemas kini metodologi kajian. Jika bosan, beri tumpuan pula pada pembinaan instrumen kajian. Jika bosan juga beralih pada proses penyelidikan yang lain.
5. Stres
Akhir sekali tentang stres, berani saya katakan saya tidak berhadapan dengan stres. Kenapa? Saya punya prinsip yang mudah, dan sering kali saya kongsikan pada rakan-rakan yang lain:
“Jikalah stres boleh menyelesaikan kerja-kerja saya yang bertimbun banyaknya, saya akan stres banyak-banyak”.
Maksudnya, tidak perlu hadirkan stres dalam hidup kita. Kerana apa, dalam hidup ini terlalu banyak perkara yang indah-indah lagi menyenangkan untuk disyukuri, berbanding dengan perkara yang menyedihkan untuk diratapi. Juga sering saya bandingkan realiti dalam usaha menyiapkan PhD (yang perlu banyak membaca, menulis dan menjalankan penyelidikan) dengan keadaan ‘perjuangan’ saudara saya di Palestin. Mudah perjuangan kita di sini berbanding mereka di sana. Maka, perlukah stres?
AKHIR KALAM
Saya akui saya miliki banyak kelemahan, namun saya tidak menangisinya kerana ia memberi petunjuk betapa ALLAH itu hampir dengan saya. Sengaja diciptakan kelemahan agar saya sentiasa memandangNYA. Ia adalah manifestasi dari sebuah hadis Qudsi yang saya hafal dari kitab Sirrul Asrar (karya Syeikh Abdul Qadir Jailani), Rasulullah bersabda bahawa ALLAH berfirman,
“AKU adalah khazanah yang tersembunyi, AKU suka dikenali maka AKU ciptakan makhluk supaya AKU dikenali”.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Namun saya tegaskan, saya tidak mengakui saya yang terbaik, tapi saya hamba TUHAN Yang Maha Sempurna. Dalam merancang kehidupan ini, saya amat percaya dengan firman ALLAH SWT:
“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu perkara, padahal ia adalah baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu perkara padahal ia buruk kepada kamu. dan (ingatlah), ALLAH jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” [Al Baqarah: 216].